Manusia berbanding Mesin (Man versus Machine)

Menurut Pengarah Bahagian Diagnostik dan Kepastian Kualiti Jabatan Perkhidmatan  Haiwan Malaysia, Dr. Muhamad Kamarulzaman Muhamad Sharif, penggunaan kaedah  “stunning” yang dilaksanakan di rumah-rumah sembelihan komersial moden khasnya di  negara Barat, terutama dalam penggunaan mekanikal kini dikaji semula, meskipun Majlis  Fatwa Malaysia menghalalkannya. Ini kerana, proses sembelihan komersial untuk  perdagangan, ternakan ruminan (meragut) terutamanya perlu melalui proses “stunning”  yang menyebabkan haiwan terkena renjatan elektrik bagi melemahkan sistem saraf  sebelum memasuki proses sembelihan yang juga secara elektrikal (mechanical stunner). Bagi sesetengah negara Barat yang prihatin dengan kebajikan haiwan telah menolak  penggunaan sistem “stunning” yang disifatkan proses penyeksaan dan tekanan ke atas  haiwan sebelum disembelih. Kesedaran tentang kesan tekanan yang ditanggung haiwan  dan pentingnya menjaga keselesaan haiwan semasa proses penyembelihan dapat  menjamin daging yang berkualiti. Sedangkan Islam, sudah menggariskan konsep  penyembelihan yang tidak menyeksa dan menjejaskan psikologi haiwan sembelihan lebih  14 abad yang lalu. Islam menetapkan rukun-rukun sembelihan iaitu wajib disembelih oleh  orang Muslim (dengan niat kerana Allah), mengguna pisau yang tajam, binatang yang  halal dan mesti memutuskan dua urat saraf iaitu halkum (saluran pernafasan) dan marikh  (saluran makanan).


Comments
* The email will not be published on the website.